BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 23, 2010

Bala Dulu vs Bala Moden


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah dan Lagi Maha Penyayang

1. Suatu ketika dahulu:

Namrud Dengan Tentera Nyamuk

Namrud mempunyai tentera sebanyak tujuh ratus ribu penunggang kuda dengan senjata yang lengkap. Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”

Maka Nabi Ibrahim as. munajat kepada Allah SWT: 
Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada mereka tentera daripada selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk.”

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. 

Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?” Allah berfirman: “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.

Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya:
“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”

Ketika telah dekat seksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk tempang sahaja untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Namrud merasa sakit dan mengarahkan rakyat yang menghadapnya mengetuk kepalanya dengan kasut. Bila diketuk dengan kasut dia berasa lega. Akhirnya nyamuk tempang itu memakan otak Namrud selama 40 hari.

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT.  Allah tidak menyeksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa ia bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.


2. Pada ketika ini:

Korban Denggi Cecah 125 Orang    
(BERITA HARIAN, Isnin, 22 November 2010)

Kuala Lumpur: Ancaman wabak denggi di negara ini semakin serius selepas jumlah angka korban sehingga semalam terus meningkat mencecah 125 mangsa, peningkatan 60% berbanding 77 kes kematian dalam tempoh sama tahun lalu.Dua kematian terbaru dicatatkan semalam membabitkan mangsa dari Sandakan dan Tawau, Sabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi dilaporkan turut meningkat 18 peratus tahun ini kepada 42,659 kes sehingga 18 November lalu berbanding 36,135 kes dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu tidak selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan mengurangkan kes denggi sebanyak 10 peratus setiap tahun melalui pelbagai pendekatan mencegah, selain meningkatkan kesedaran orang ramai dan pengamal perubatan.

“Wabak denggi dalam negara kita semakin serius. Bilangan kematian begitu tinggi dan kita tak boleh lambat mengambil tindakan dengan kerjasama semua pihak. Doktor, pengamal perubatan swasta dan klinik kerajaan perlu mengenalpasti tanda-tanda denggi lebih awal dan memberi rawatan segera,” katanya di sini, semalam.

***********************

Maksud bala ialah ujian atau cabaran yang menimpa seseorang di mana jika dia seorang yang beriman maka bala atau ujian ini bertujuan untuk menguji tahap kesabaran dan keimanannya kepada Allah sehingga dia mampu lahir sebagai hamba Allah yang sentiasa redha dengan apa yang berlaku. 

Bala yang menimpa umat yang kufur kepada Allah pula antara lain bertujuan agar dia kembali beriman dan  seterusnya bertaubat daripada kekufuran sehingga dia kembali menjadi hamba Allah yang diredhai atau pun dia bertambah kufur dengan apa yang menimpanya sehingga dia menjadi umat yang rugi di dunia dan akhirat.

Jadi, penulis pulangkan kisah ini kepada pembaca untuk menilai. ALLAHUALAM


0 comments: